Isnin, 31 Oktober 2011

Perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat SMK Iskandar Shah 2011



          Jasin – Tanggal 31 Oktober 2011, majlis perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan telah berlangsung di Dewan Besar SMKIS dengan penuh meriah dan gilang-gemilang. Setelah semua hadirin mengambil tempat, majlis ini telah dimulakan dengan bacaan doa di bawah pimpinan Ustaz Anuar bin Mohamad. Majlis tersebut  yang dihadiri oleh guru-guru dan para pelajar SMKIS telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tn. Hj. Zolkaply bin Yunus, Pengetua SMK Iskandar Shah. Tn. Hj. Zolkaply turut diiringi oleh En. Zaid bin Taib (GPK HEM) dan En. Hj. Jalalludin bin Ahmad (GPK Tingkatan 6) untuk tampil di atas pentas bagi memalu gong sebanyak tiga kali sebagai gimik sempurnanya acara perasmian.

 Ucapan daripada Tuan Pengetua, Tuan Haji Zolkaply bin Yunus


          Selesai upacara perasmian, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh wakil pengawas iaitu saudara Muhd Firdaus bin Abdul Razak. Laungan ikrar telah dilafazkan dengan penuh semangat serta membakar semangat para pelajar untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara tercinta ini.




          Selesai bacaan ikrar, para hadirin telah disajikan dengan beberapa persembahan istimewa daripada pelajar-pelajar. Persembahan pertama telah menampilkan Hasyimah bte Bachu dari Tingkatan 1RK1 yang mendeklamasikan sajak bertajuk “Sejak Zaman baharu“. Persembahan syair yang bertajuk “Wasiat Ayahanda Siti Zawiyah“ pula telah disampaikan oleh Asyiffa binti Shahrum dari Tingkatan 1RK1 dengan penuh penghayatan. Akhir sekali, pelajar-pelajar Tingkatan 3RK1 yang terdiri daripada Nurnasuha bte Mohd Fadzil, Muhammad Firdaus bin Abd Razak, Muhammad Hanif bin Sam’on,  Fikri Khairul Haikal bin Yusof dan Muhammad Hazwan bin Rosle telah bergabung tenaga menyampaikan lagu rasmi Bulan Bahasa yang berjudul “Bahasa Menjunjung Budi“.

 Pendaklamasian sajak oleh Hasyimah binti Bachu dari Tingkatan 1RK1

Penyampaian syair oleh Asyiffa binti Shahrum dari Tingkatan 1RK1

Nyanyian lagu tema Bulan Bahasa oleh para pelajar Tingkatan 3RK1



          Objektif majlis ini termasuklah untuk menyedarkan para pelajar akan kepentingan memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama di negara kita. Hal ini seiring dengan cogan kata ‘Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris’’. Majlis tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan.
           
        Warga Panitia Bahasa Melayu SMKIS merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Tn. Hj. Zolkaply bin Yunus, Pengetua SMK Iskandar Shah kerana telah sudi menyempurnakan upacara perasmian. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua pentadbir, guru-guru dan para pelajar yang memberikan komitmen bagi menjayakan majlis tersebut.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan